KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang membina Lebuh Raya Pesisir Pantai dan Lebuh Raya Kedua bagi menambah baik perhubungan jalan raya negeri ini
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kos pembinaan dua lebuh raya tersebut berjumlah RM11 bilion dibiayai oleh Kerajaan Sarawak sendiri.
Katanya, Lebuh Raya Pesisir Pantai sepanjang 896 kilometer (km) itu membabitkan kos RM5.42 bilion.
"Lebuh raya ini melibatkan pembinaan 10 jambatan merentasi sungai-sungai yang besar, seperti jambatan Batang Lupar sepanjang 4.8 km yang merupakan jambatan terpanjang merentasi sungai di negara ini apabila siap kelak," katanya ketika Majlis Penutupan dan Santapan Malam Kembara Kenali Borneo anjuran Kerajaan Sarawak dan dihadiri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, Lebuh Raya Kedua pula dari Samarahan menuju ke arah Utara Sarawak melalui kawasan Sebuyau dan Lingga dengan kos sebanyak RM5.58 bilion.
"Jajaran ini nanti akan memendekkan masa perjalanan dari Kuching ke Sibu daripada lima ke enam jam sekarang kepada dua jam setengah," tambahnya.
Beliau berkata, program penyediaan infrastruktur besar-besaran ini dijangka siap pada 2026 bertujuan menaik taraf sistem perhubungan jalan raya di negeri ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi.
GAMBAR: JAPEN SARAWAK
Sumber dari : Jiwa Bakti